Friday, 20 July 2012

Ramadhan AlMubarak

Bulan Ramadhan telah tiba. Pengumuman oleh wakil raja-raja Melayu pun telah disampaikan semalam (18/7/12). Masjid-masjid pun malam ini akan dibanjiri insan untuk mendirikan solat sunnat tarawikh. Alhamdulillah, sampai juga aku pada tahun ini bertemu dengan bulan yang di nanti-nanti oleh Rasulullah S.A.W. Nabi menyarankan agar sahabat bergembira menyambut kedatangan bulan tersebut. Kegembiraan Nabi S.A.W dapat dilihat melalui hadis baginda riwayat Imam Ahmad :

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.”

Rasulullah s.a.w. akan menyampaikan  kabar gembira kepada para sahahabat setiap kali datang bulan Ramadhan. Justeru, aku berasa perlu untuk mendidik jiwa untuk turut sama berasa gembira atas mendirikan ibadah fadhu puasa. Tidak dinafikan aku pernah berasa tidak senang suatu ketika dahulu apabila hampir dengan bulan puasa. Alhamdulillah aku diberi tenaga dan semangat pada tahun ini untuk membuat persiapan. 

Antara perkara yang dapat mencetus semangat kegembiraan menyambut bulan puasa :

1. Berpuasa sunnat dibulan Rejab dan Syaaban
Sering juga aku tertinggal untuk berpuasa sunat oleh kerana lupa berniat.

2. Countdown
Satu perkara yang aku tidak pernah lakukannya. Tapi aku percaya ia boleh membantu zahirkan rasa gembira  kerana dapat mencetus perasaan berdebar-debar apabila semakin hampir dengan bulan yang dinanti-nanti.

3. Tingkatkan ibadah sunat
Ibadah ini seperti membaca alQuran, memahami maknanya, mencatit pengajaran dari ayat dibaca, serta menghafal. Jikalau hafalan sedikit demi sedikit pun telah memadai. Solat sunat seperti dhuha, qabliah, baa'diah, dan witir juga salah satu persedian dan latihan.

4. Ucapan kepada sahabat
Menurut Ustaz Zulfadhli, guru bahasa Arab aku, ucapan yang biasanya diucapkan kepada rakan-rakan adalah 'Ramadhan Karem' dan dibalas dengan 'AllahuAkram' yang bermaksud "Allah itu lebih mulia". Selain itu juga ucapan "Kullu Ammin wa antum bilkhair" sesuai diucapkan yang bermaksud 'moga kamu mendapat kebaikan di sepanjang tahun'. Begitulah amalan orang-orang mukmin, saling doa mendoakan.

5. Banner dan Bendera
Tahun ini aku perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang AJK masjid. Aku mencadangkan kepada ahli-ahli yang lain untuk menempah banner. Tetapi satu perkara aku tidak bincangkan kepada sahabat-sahabat AJK, iaitu menaikkan bendera. Aku telah menempah 4 helai bendera. Warna bendera tersebut adalah hijau dan putih yang berukuran 6X3 kaki. Semua ini adalah atas tujuan menyemarakkan semangat juang menjalani ibadah fardhu puasa. Selain itu, apabila masjid kelihatan ceria, secara tidak langsung perasaan gembira akan hadir dalam hati, Insya Allah.

Sunday, 15 July 2012

Pinggan Ibu

Perkara ini berlaku ketika kami berada di dapur rumah seusai kembali dari masjid selepas solat Isya'. Aku letakkan beg di atas kerusi tempat aku selalu mentelaah pelajaran di sebuah meja makan. Meja ini hanya digunakan khas untuk majlis keraian sahaja. Jarang-jarang digunakan untuk waktu makan pada hari kebiasaannya. Jadi, aku lah yang selalu mengisi ruang menggunakannya apabila perasaan mula bosan menggunakan meja belajar yang ada dalam bilik tidurku.

Setelah aku meletakkan beg, lastas aku masuk ke dapur dengan memberi salam, ibuku berada di ruangan dapur. Lalu aku ambil pinggan, untuk makan malam, ibu menyuruhku ambil pinggan yang berada di dalam bekas susun atur pinggan, namun aku mencapai terlebih dahulu pinggan yang berada di kabinet bahagian atas.

"Gunekan pinggan yang ade kat situ (bekas susun atur pinggan), senang nanti, tak banyak pinggan yang ade dalam ni (bekas susun atur pinggan)" Ibu memerintah.

Aku diam lalu aku senduk nasi yang ada dalam periuk elektrik.

"Itulah korang, tak nak dengar lagi cakap mama lagi dah, nak ikut cakap korang jeeee !" Nada ibu kesal lalu beredar.



"Nanti abang susun balik pinggan, jangan risau" jawab aku. 


Aku tidak ikut peintah ibu kerana aku punya pilihan sendiri. Aku tidak letak kembali pinggan yang aku ambil dari tempat yang ibu suruh kerana beralasan pinggan dari manapun sama. Untuk menambah alasan, aku tidak  mahu pening-pening letak kembali pinggan yang telah diambil.


Satu suapan nasi aku masuk ke mulut. Hati terdetik, derhakakah aku? Ah, sungguh aku ego, kerana memilih jalanku sendiri. Sedangkan yang lebih aku taat adalah arahan ibuku. Menyesal. Bisikan syaitan selalu diikuti oleh orang yang ego.

Saturday, 14 July 2012

Pelan Tindakan Tarbiatun Nafsi

Pelan Tindakan ini sebahagiannya telah diimplimentasi, ada yang masih belum terlaksana. Jadi adalah menjadi tanggungjawab aku untuk memastikannya terlaksana. Diantara pelan tindakannya adalah :


Pertama : Mengukuhkan Aqidah Tauhid Kepada Allah 
- Aku akan mencari ustaz yang dapat menerangkan dalam soal Aqidah dan hadiri kuliahnya pengajian kitabnya.
Mengaji bab Aqidah perlu ada guru yang thiqah. Silap-silap nanti muncul pemahaman sendiri, bak kata sindiran Imam masjid kawasan perumahan aku.

- Bahan bacaan seperti buku untuk rujukan dan hafalan.
Maklumlah selalunya dalam kuliah, ustaz akan baca dalil sepintas lalu sahaja. Jarang-jarang aku dapat tangkap.

Kedua : Tahsin Ibadah (Memperelokkan Ibadah)
- Sama seperti langkah mengukuhkan aqidah.
Buat masa ini aku sering mengikuti kuliah Ustaz Basri di Madrasah Nahdatul Islam, Seksyen 3 yang mensyarahkan kitab fiqhu manhaj Imam Syafie' r.a karangan Mustafa alBugho. (Mohon istiqamah mengikuti pengajian ustaz, sebab perlu usaha yang tinggi juga hadir setiap minggu ke seksyen 3 dengan memujuk hati supaya ringankan tulang. Rumah aku di Kg. Subang, jadi jarak yang agak jauh untuk mengaji di madrasah itu membuatkan sedikit keberatan

Ketiga : Perkataan Yang Baik
- Ibu panggil jawab "Ye, Mama" atau "Ye, Papa"
- Kalau dimarahi katakanlah "Maaf sebab kelemahan abang, lupa nak kemas buku atas meje"

-Insya Allah, kalau tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua-

Tarbiatun Nafsi


Aku menukar nama blog ini kerana ingin menyelarikan dengan matlamat dalam hidup aku kini. Tarbiatun Nafsi adalah satu menifestasi untuk memperbaiki diri yang telah lama hilang dalam kekalutan krisis identiti remaja ku. Sesuai dengan maksud Tarbiah iaitu mendidik dan Nafsi bermaksud diriku. Seperti yang ditunjukkan AsShadeed Hassan AlBanna, beliau melalui beberapa tahap dalam dakwah beliau. Iaitu fasa yang pertama tarbiah diri-keluarga-masyarakat-negara. Alhamdulillah, kehadiran aku sebentar tadi (14/7/12) di seminar pemikiran Badi’uzzaman Said Nursi memberi inspirasi untuk memperbaiki diri sebelum mendambakan sebuah keluarga yang bahagia. Beliau, alUstaz Said Nursi memulakan dakwah beliau dari diri beliau sendiri yakni dengan mengamalkan terlebih dahulu sebelum menyeru orang lain untuk mengamalkannya.

(Logo - biar diri ini lebih jelas lagi menggambarkan dasar tarbiah diri yang ingin dibawa)

Justeru aku berharap ini dapat mengubah sifat buruk dalam diri (mazmumah) kepda sifat baik (mahmudah) kerana aka ada satu matlamat iaitu menwujudkan suasana (biah) Islam dalam keluarga. Kerana aku yakin, kalau tidak mulakan dengan diriku macam mana ahli keluargaku akan memahami semangat perubahan yang aku hendak bawa. Oleh itu, matlamat yang jelas aku pasakkan dalam hatiku, dan melalui tulisan ini sebagai pengingat diri yang sering tergelincir dari landasan yang dihampar. Bi Iznillah-Dengan Izin Allah.

Friday, 13 July 2012

Sukar Ingin Menyampaikan Maksud Dalam Hati


Perbalahan terjadi sewaktu aku dan ibu berbincang tentang adik ke-2. Ibu memberitahu yang adik aku akan tinggal di rumah sewa pekerja. Lalu aku berkata kepada ibu,

“Boleh percaya ke? Sepatutnya kita halang die bekerje sejak dari mula lagi”

Ibu balas “ek eh, biarlah die cari duit sendiri !”

Aku menambah “Tapi ilmu agama die masih kurang, macamana nak biarkan die hidup sendiri kat luar ”

“Nanti die dah kawin, biarlah suami die bimbing die” kata ibu.

“Ilmu agama kene cari dari muda, ma. Kite sepatutnya galakkan belajar ilmu agama dulu, kita kene galakkan minat membaca, semua tu kene ada galakan”.

Ibu yang terasa di kritik terus mengungkapkan kata-kata ini, “Kau cakap macam kami (mama dan papa) silap didik korang”.

Aku tersentak, lalu mendiamkan diri seketika. Jauh didalam hati aku hendak mengatakan kepada ibu yang mereka (mama dan papa) telah silap mendidik kami. Lalu dalam nada yang rendah aku katakan “kita sama-sama nak memperbaiki diri” dan perbualan terhenti di situ. Tidak mahu perbualan anak dan ibu menjadi satu pertengkaran, aku mendiamkan diri, memendam rasa bersalah mengucapkan kata-kata yang mengguris hati ibu.

Cuma yang aku pendam adalah impian menghidupkan ruh Islam dan budaya ilmu dalam keluarga. Aku ingin lihat ibu dan ayah ku dijadikan contoh oleh adik-adik. Ingin lihat adik-adik ku hormati dan taat kepada mereka.

Teringat pula ayat AlQuran dalam surah atTahrim ayat yang ke 6 mafhumnya : “Selamatkan dirimu dan keluargamu dari api neraka”

-Insya Allah, Suatu hari nanti-
Walau kita tidak bersependapat, kasih sayang kita ikatan benang bersulam sutera